loading...

Saturday 15 October 2016

Filled Under:

BILA BELUM DAPAT KAU JAGA SEPENUH NYAWA, BULAN BINTANG KAU JANJI. BILA DAH DAPAT, KAU BUAT BINI KAU MACAM BOLA. CAMPAK SANA, CAMPAK SINI.. BILA DAH BERPISAH, MULALAH KAU GILA TALAK! LELAKI DAYUS!!!




Talak bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Kalau lafazkan secara ‘main-main’ pun jatuh, lafaz dalam keadaan marah pun jatuh dan secara bergurau pun jatuh. Walaupun talak dibenarkan oleh Islam namun ia adalah perkara yang sangat dibenci.
Talak yang dijatuhkan secara spontan tanpa bersebab atau tiba-tiba tanpa difikirkan semasak-masaknya antara penyebab seseorang lelaki menjadi gila talak.
Pensyarah di Jabatan Undang-undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya Dr. Datin Paizah Ismail berkata, kecuali jika seseorang lelaki itu telah memikirkan dengan penuh kewarasan mengapa dia hendak menjatuhkan talak ke atas isterinya, mungkin kejadian gila talak itu tidak akan berlaku.
‘‘Tetapi bila lelaki tidak berfikir panjang dan terus mentalakkan isteri, akan timbul sesalan setelah dia kembali tenang.
Pada waktu itu, sudah terlambat dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Apa lagi jika telah menjatuhkan talak tiga.
“Jadi jangan bermain-main dengan talak walaupun kuasa talak diberikan kepada lelaki,’’ ujar Paizah.
Beliau menambah, lelaki harus mengawal perasaan dan jaga perkataan yang keluar daripada mulut walau macam mana marah sekali pun.
Perkara titik-bengik jangan diperbesarkan sehingga boleh membawa kepada permasalahan yang lebih besar dan sukar dibendung.
Walaupun lelaki mempunyai kuasa namun dia mesti bersikap terkawal, gunakan kebijaksanaan, akal fikiran dan fikir semasak-masaknya supaya keputusan yang dibuat itu munasabah dan tiada kekesalan.
Pepatah yang mengatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak perkataan buruk padahnya sememangnya ditujukan kepada hal-hal seperti talak ini.
‘‘Talak satu boleh rujuk, dua pun boleh rujuk tetapi bila sudah tiga, memang betul-betul jadi gilalah. Sebab itu dalam Islam kata talak dibolehkan tetapi ia paling dibenci.
‘‘Bila sudah talak tiga, hendak rujuk semula susah. Harus mengikut prosedur yang ketat dan bermacam-macam lagi dan mungkin juga ia akan kekal begitu apabila si isteri sudah berjumpa dengan pasangan yang sesuai dengannya. Bekas suami ini akhirnya menghadapi tekanan dan timbullah istilah gila talak.
‘‘Lelaki yang gila talak ini biasanya menghadapi tekanan emosi dan tertekan. Apabila tidak dapat dikawal maka dia akan mengambil jalan singkat seperti mencederakan isteri, pasangan, orang lain atau keluarga,’’ kata Paizah lagi.
Menurut Faizah, sebelum mengambil keputusan hendak bercerai, berbincang dahulu secara baik, minta pendapat keluarga dan orang tengah. Jika boleh selamatkan rumah tangga, cubalah selamatkan demi anak-anak.
Kenang semula bagaimana susahnya hendak menyimpul ikatan perkahwinan dan jangan dengan mudah hendak merungkai ikatan yang dijalin bertahun-tahun.
Beliau berkata, apabila seseorang itu berkahwin, dia harus mengetahui pantang larang.
Jangan jadikan perkara serius seperti talak sebagai mainan atau gurauan sehingga boleh tersasul. Jangan lihat ini sebagai perkara yang remeh kerana ia sebenarnya besar dalam kehidupan.
‘‘Isteri pula apabila melihat suami yang sedang marah harus pandai menyejukkan hati suami. Jangan kedua-duanya sama marah kerana api bersama api boleh terbakar dan membakar. Jika seorang api, seorang lagi mesti bersifat air.
‘‘Bagi si suami pula, jika sedang marah, jangan ikut perasaan. Cari jalan untuk meredakan kemarahan. Jika sedang berdiri, duduk. Jika panas, mandi, jika lapar, makan. Insya-Allah hati dapat disejukkan,’’ katanya
DALAM Islam perkara halal yang paling dibenci di sisi Allah SWT adalah talak. Mengikut syarak talak merupakan milik mutlak kaum lelaki. Namun ia bukan sesuatu yang boleh dipermudahkan disebut bahawa salah satu perkara yang disebut secara main-main pun jadi ialah menjatuhkan talak
Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud 'menceraikan' atau 'melepaskan'. Mengikut istilah syarak ia bermaksud 'melepaskan ikatan pernikahan atau perkahwinan dengan kalimah atau lafaz yang menunjukkan talak atau perceraian'.
Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan idah.
Talak memang mudah dijatuhkan. Namun kesan dan bahana selepas ia diungkapkan kadang kala tidak tersangka malah oleh 'pelontar' talak itu sendiri. Adakalanya ia boleh menjadi mimpi ngeri kepada kedua-dua belah pihak.
Sebab itu dalam masyarakat Melayu wujud istilah 'gila talak' - biasanya dikaitkan dengan suami yang tergila-gilakan bekas isteri.
Akibatnya bermacam-macam perkara dilakukan untuk mengembalikan bekas isteri ke pangkuan. Ada yang berlembut ada pula yang kasar dan ganas hingga membabitkan perbuatan yang tidak pernah terlintas di fikiran kita.
Bukan sahaja fikiran tidak keruan malah hidup tunggang-terbalik gara-gara tidak dapat melupakan bekas isteri apatah lagi apabila mendapat tahu wanita tersebut sudah ada pengganti.
''Gila talak ini bermacam-macam. Ada yang setelah melepaskan (menceraikan) isteri, baru timbul perasaan sayang semula kepada isteri.
"Masa itu si suami mulalah membuat pelbagai alasan untuk berjumpa bekas isteri.
''Ada juga sebelum bercerai perasaan marah terhadap isteri meluap-luap tetapi selepas bercerai diburu pula dengan perasaan cemburu terhadap bekas isteri yang bukan lagi menjadi miliknya.
''Ada suami yang hilang perasaan malu, setiap hari menunggu di depan rumah, bawah pokok dan sebagainya. Kata rindukan anak tetapi sebenarnya rindukan emak.
"Ada yang sanggup menyuruh orang lain supaya memujuk bekas isterinya kembali kepadanya,'' demikian cerita kaunselor perkahwinan dan rumah tangga berdaftar, Hushim Salleh ketika dihubungi baru-baru ini.
Ujar Hushim, ramai lelaki berjumpanya untuk mendapat khidmat nasihat kerana gagal melupakan bekas isteri selepas bercerai.
Menariknya ada di antara mereka ini terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, juruterbang, pensyarah dan jurutera yang rata-rata berumur 40 tahun ke atas.
"Wanita atau isteri zaman sekarang rata-rata berpendidikan dan berkerja. Jika mereka mengetahui suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, mereka berani bersemuka dengan suami.
"Suami pula yang marah kerana rahsianya diketahui isteri mudah melatah dan dengan mudah melafazkan talak tanpa berfikir panjang.
"Memang talak dibenarkan sebagai cara membubarkan perkahwinan secara baik tetapi ia boleh juga dianggap tempoh tinggal berasingan antara suami dan isteri," katanya.
Hikmahnya adalah supaya ketika tempoh itu suami isteri boleh berfikir semula tentang kebaikan pasangan masing-masing di samping membuat perbandingan daripada segi layanan, kasih sayang, seksual dan kewangan.
''Sebab itu ada talak satu dan dua di mana pasangan boleh rujuk semula, tetapi jika talak tiga masalah besar akan timbul.
''Itulah sebabnya kita dengar ada lelaki yang sanggup membakar masjid kerana tidak mahu isterinya bernikah dengan lelaki lain di masjid itu.
"Mungkin lelaki ini menghadapi tekanan yang melampau, memendam rasa, fikiran pun buntu dan sanggup membuat sesuatu yang di luar kewarasan.
"Mungkin juga kerana dia terlalu sayangkan isterinya namun kerana sudah terlepas kata, tidak boleh ditarik balik,'' katanya.
Pengajaran yang boleh diambil katanya, ialah sebelum suami hendak melafazkan talak dapatkan khidmat kaunseling dahulu agar tidak timbul penyesalan.
"Jangan salah guna kuasa talak. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pasangan suami isteri muda sekarang apabila ada masalah, mudah sangat hendak bercerai.
''Saya mencadangkan agar masjid-masjid mengadakan khidmat kaunseling bagi membantu pasangan yang menghadapai masalah.
" Masjid kita masih belum ada khidmat ini sedangkan gereja sudah lama menyediakan khidmat tersebut dan mempunyai pusat kaunseling sendiri.
"Saya sendiri ada mengajar para paderi mengenai kaunseling rumah tangga semasa menjadi pensyarah di Universiti Malaya dahulu,'' ujar Hushim mengakhiri perbualan
- sumber utusan






0 comments:

Post a Comment